Monday, August 17, 2015

FGV tidak naikkan gaji pekerja ladang

Felda Global Ventures Bhd (FGV) hari ini menjelaskan bahawa ia tidak menaikkan gaji pekerja ladangnya.
 
Dalam kenyataan hari ini, syarikat mengulangi bahawa dasar buruhnya berpandukan kepada Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa), yang menyediakan standard industri mengenai gaji minimum, dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.
 
"Kami tidak menaikkan gaji pekerja ladang kami, termasuk pekerja kilang  minyak sawit, dan pekerja am yang lain, sebanyak 8-10 peratus berkuat kuasa 1  April, 2015, seperti dicadangkan dalam laporan.
 
"Bagaimanapun, kajian pelarasan gaji masih dilaksanakan dalam FGV dan  sebagai entiti senaraian awam, sebarang perubahan dalam dasar buruh FGV memerlukan kelulusan daripada lembaga pengarah kami," menurut FGV.
 
FGV berkata demikian susulan laporan media baru-baru ini, bertajuk, Maybank IB Kekalkan Saranan 'Neutral' Ke Atas Sektor Perladangan pada 12 Ogos, 2015. 
 
Laporan itu menyatakan: 'Peneraju perladangan yang besar termasuk Felda Global Ventures Holdings Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd, antara lain, bersetuju untuk menaikkan gaji pekerja ladang mereka (termasuk pekerja kilang minyak sawit dan pekerja am yang lain) sebanyak 8-10 peratus mulai 1 April, 2015.  - Bernama - Sinar Harian

No comments: